Aku dipinjamkan oleh Allah dua orang malaikat yang sanggup berkorban segalanya dalam membesarkan anak-anaknya. Mak dan ayah. Dua orang malaikat yang amat aku sayangi didunia dan diakhirat. Terlalu banyak pengorbanan yang mereka sudah lakukan. Mak, ayah, ampunkan segala dosa anakmu ini. Terima kasih mak dan ayah kerana telah menyediakan segala kelengkapan aku dan adik beradik dengan sempurna.
Pada tahun 2005, bermula persekolahan aku di peringkat menengah. Seminggu bersekolah di sekolah yang berdekatan dengan rumah, akhirnya aku mendapat tawaran untuk bersekolah di sekolah berasrama harian. Mendapat tawaran kelas rancangan khas. Pada mulanya mak tak benarkan aku pindah ke sekolah tersebut. Kata mak, aku masih tak pandai hidup berdikari. Mungkin sebab aku anak perempuan bongsu, mak sangat risaukan akan keselamatan aku. Berlainan dengan ayah kerana ayah sokong aku terima tawaran tersebut. Masa surat tawaran tiba di rumah, aku masih disekolah sebab ada aktiviti latihan sukan. Sampai sahaja aku dirumah, aku nampak barang-barang keperluan diri seperti sabun, syampu, ubat gigi dan lain-lain masih berbungkus diletakkan diatas meja. Kemudian ayah cakap kat aku esok akan pergi daftar di sekolah baru. Barang-barang keperluan semua ayah dah belikan. Sebagai anak, aku ikutkan sahaja. Lagipun ayah cakap ayah kasihan kat aku sebab selalu kena buli dengan adik bila dirumah. Ya, aku mempunyai seorang adik lelaki yang sangat nakal ketika itu. Alhamdulillah. Aku belajar hidup berdikari hari demi hari.
Tiga tahun aku menjadi pelajar asrama. Masuk tingkatan 4 aku buat keputusan untuk pindah sekolah. Aku memilih untuk bersekolah berdekatan dengan rumah. Jadi, aku tidak perlu untuk tinggal diasrama lagi. Pergi dan pulang dari sekolah ayahlah yang setia menghantar dan mengambil aku. Terasa seperti anak tunggal kerana abang-abang dan kakak sambung belajar di IPTA masing-masing. Adik pula tinggal diasrama ketika itu.
Semasa ditingkatan lima, terlalu banyak kelas tambahan yang diadakan disekolah. Jadual untuk pulang dari sekolah juga tidak menentu. Setiap hari aku perlu menelifon ayah untuk maklumkan pukul berapa aku akan pulang dari sekolah. Mujurlah public phone disediakan disekolah.
Masih aku ingat, pada suatu hari, lepas sekolah cikgu ada buat kelas tambahan. Masa tu aku tak sempat nak telefon ayah bagitahu yang aku akan balik lambat. Jam ketika itu sudah menunjuk hampir pukul 4 petang. Ya Allah, perasaan sedih sangat tatkala berjalan kaki menuju pintu pagar sekolah kelihatan seorang ayah yang sangat penyabar sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah. Ayah setia menunggu aku dibawah rendang pokok bersama motosikalnya. Ayah tidak mengeluh mahupun marah terhadapku.
Ya Rabb, sesungguhnya aku sangat bersyukur kepada Mu kerana mengurniakan aku dua orang malaikat yang amat aku sayangi dunia dan akhirat. Engkau peliharalah mereka sebaik-baiknya. Engkau murahkan rezeki mereka, ampuni segala dosa mereka, kurniakan kesihatan yang baik dan panjangkan umur mereka. Amin.
 
 
No comments:
Post a Comment